Friday, October 1, 2010

info : sharing is caring!

Nama Tempatan: Pegaga
Nama Saintifik: Centella Asiatica/Hydrocotyle Asiatica
Nama Lain: Tapak Kuda(Indonesia),Indian Pennywort, Gotu Kola
Famili: Apiaceae/Umbelliferae
Pengelasan saintifik
Alam: TumbuhanDivisi: Magnoliophyta
Order: Apiales
Famili: Apiaceae
Genus: Centella
Spesies: C. asiatica
Keterangan:
Pegaga atau nama saintifiknya centella asiatica / hydocotyle asiatica ialah sejenis ulaman popular orang melayu. Sejenis tumbuhan menjalar yang tumbuh pada tanah yang agak lembab seperti kebun, ladang, tepi jalan dan batas sawah. Ia pada asalnya dimakan sebagai ulam untuk menambahkan selera makan kerana daunnya yang wangi dan manis.
Ia mudah tumbuh dikawasan tanah yang subur, agak lembab dan bersaliran baik. Ia membiak melalui pecahan anak. Tumbuhan yang kecil ini besar khasiatnya. Ia kaya dengan vitamin A dan C serta zat besi, sering dijadikan sayur-sayuran “rasmi” untuk wanita ketika berpantang.
Biasanya seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya mempunyai banyak kegunaan dan khasiat yang tinggi. Di Indonesia, bunga dan buah pegaga tidak dimakan kerana ia dikatakan menjadi punca penyakit reumatisme sekiranya terlalu banyak dimakan.

Namun ada juga orang yang yakin bahawa mereka akan beroleh umur yang panjang dan awet muda apabila mengamalkan pengambilan pegaga dalam makanan harian mereka. Tetapi berdasarkan kajian menunjukkan ia boleh dimakan selalu tetapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja bagi mendapatkan kesan positif. Ini kerana pengambilan yang berlebihan akan mengakibatkan kesan narkotik dan keracunan kumulatif yang meransang tumor untuk jangkamasa panjang.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf pegaga sebagai herba menjana kecerdasan berfikir terutamanya di kalangan kanak-kanak. Pegaga yang dikenali juga sebagai Centella asiatica telah diperakui WHO kerana kaya dengan pelbagai ramuan ubatan.
Fakta sejarah
Mengikut ceritanya, pokok pegaga ini dimakan pada awalnya oleh penduduk India setelah melihat gajah yang terkenal dengan umurnya yang panjang didapati selalu mengunyah tumbuhan ini. Jadi ia dimakan pada asalnya untuk memanjangkan umur. Kini ia diambil sebagai ulam dan jus kerana rasa dan baunya yang menambahkan selera. selain dimakan mentah sebagai ulam, pegaga juga boleh dimasak lemak dan dijadikan kerabu.
Kajian yang dilakukan pada 1949, mendapati pegaga mujarab untuk mengubati penyakit kusta dan ulser kerana ciri-ciri antibakteria yang ada padanya. Penyelidikan seterusnya yang dijalankan sekitar tahun 1950-an pula mendapati pegaga amat baik untuk menyembuhkan luka, kudis serta mengubati kerengsaan kulit. Sebagai ‘makanan menjana kecerdasan otak’, herba ini amat mujarab untuk memperbaiki fungsi minda seperti meningkatkan daya ingatan dan penumpuan fikiran.
Herba ini mula digunakan dalam perubatan Ayurveda. Ia juga pernah digunakan dalam perubatan herba Shennong di cina lebih kurang 2000 tahun yang lalu
Jenis-jenis Pegaga Di Malaysia
1.Pegaga Cina Atau Pegaga Nyonya
2.Pegaga Daun Lebar
3.Pegaga Kelantan
4.Pegaga Renek
5.Pegaga Salad
6.Pegaga Gajah
7.Pegaga Brunei
Kandungan
Pegaga yang simplisianya dikenal dengan sebutan Centella Herba memiliki kandungan asiaticoside, thankuniside, isothankuniside, madecassoside, brahmoside, brahmic acid, brahminoside, madasiatic acid, meso-inositol, centelloside, carotenoids, hydrocotylin, vellarine, tanin serta garam mineral seperti kalium, natrium, magnesium, kalsium dan besi. Diduga glikosida triterpenoida yang disebut asiaticoside merupakan antilepra dan penyembuh luka yang sangat luar biasa. Zat vellarine yang ada memberikan rasa pahit.
Pegaga juga mengandungi banyak sebatian kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria, antipasma, antiinflamasi, hipotensif dan insektisid. Dalam bidang perubatan tradisi, ia digunakan sebagai agen antialergi, antikanser, antidisenteri, peransang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik, menyejukkan badan, mengeluarkan batu karang, penawar kencing berdarah, kusta, gonorea,luka, kudis, dan sakit kerongkong. Pegaga juga anti-infeksi, antiracun, penurun panas, melawaskan pembuangan air kencing, antilepra dan anti sifilis.
Kegunaan:
Pegaga dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk, melambatkan proses penuaan dan menolong badan dari bahan toksid. Kebelakangan ini pegaga banyak digunakan di barat sebagai tonik saraf untuk merehatkan dan menambahkan ingatan. Di India bagaimanapun ia juga banyak digunakan untuk mengatasi masalah kulit.
Di timur pula, pegaga juga digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal. Kajian terbaru menunjukkan pegaga menunjukkan kesan positif terhadap sistem pengaliran darah dengan menguatkan salur darah dan kapilari. Ia telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan bila digunakan untuk merawat kejang kaki, bengkak kaki dan masalah kaki terasa berat dan kebas.
Daun pegaga berfungsi sebagai astrigensia dan tonikum. Pegaga juga digunakan untuk revitalisasi tubuh dan otak yang lemah serta untuk kesuburan wanita.
Kesimpulannya pegaga sesuai untuk penyakit berikut :
1. Pembengkakan Hati
2. Demam, Campak
3. Sakit Tekak, Batuk Kering,
4. Asma, Brokitis, Pleuritis
5. Radang Mata Merah
6. Keputihan
7. Tekanan Darah Tinggi
8. Sakit Perut, Disentri, Cacing, Buasir
9. Tidak Selera Makan, Sakit Perut, Disentri, Cacing, Buasir
10. Keracunan Makanan
11. Batuk Darah, Muntah Darah
12. Busung, bisul
13. Infeksi Saluran Kencing (kencing kotor)
Sifat dan Manfaat
Pegaga atau nama saintifiknya Cantella asiatica boleh membangkitkan selera makan, membantu meredakan masalah penghadaman, mengatasi masalah buasir kerana mengandungi serat. Ia juga mampu melancarkan aliran darah, terutama bagi wanita yang ada masalah haid. Pegaga juga dijadikan ubat untuk merawat masalah keputihan yang menyebabkan faraj terasa gatal.
Air perahan daun pegaga juga dikatakan boleh menyejukkan badan dan elok diamalkan jika demam, mengalami masalah berak berdarah atau lelah. Amalan minum air rebusan akar pegaga ini dipercayai boleh membantu mengawal paras gula dalam darah di kalangan pesakit kencing manis. Malah, ada yang menjadikannya sebagai minuman untuk menguruskan badan
Selain itu, pegaga juga telah lama digunakan sebagai tonik untuk membersihkan darah, merawat ulser, sifilis, dan kelenjar limfa. Amalan meminum jus pegaga amat mujarab untuk membantu mereka yang bermasalah untuk tidur, merawat kerengsaan kulit dan tekanan darah tinggi. Walaupun pegaga amat baik dimakan mentah tetapi daun yang diramas dengan sedikit air amat baik jika disapukan pada kudis dan luka.
Di samping itu, pegaga juga memberi kesan kepada beberapa peringkat pembentukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolagen, merangsang pembentukan rambut dan kuku. Pegaga juga dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka, ulser dan masalah kulit lain. Oleh itu tidak hairan jika ia dijadikan makanan wajib bagi wanita berpantang supaya luka bersalin lebih cepat sembuh.
Mengamalkan meminum jus pegaga dapat meningkatkan daya ingatan seseorang, disamping dipercayai boleh meningkatkan kebaikan prestasi kanak-kanak yang mengalami kecacatan akal.
Dewasa ini produk yang berasaskan pegaga telah di gunakan dengan meluas dalam industri kecantikan sebagai anti selulit, anti kedutan (anti wrinkle), untuk mata dan muka, menambah ketegangan kulit dan meningkatkan pembentukan kulit yang baru.

No comments:

Post a Comment