Saturday, August 7, 2010

Info

Jangkitan pundi kencing

PADA satu-satu ketika dalam hidup mereka, ramai wanita yang mengalami infeksi atau jangkitan pundi kencing. Dalam kebanyakan kes, ia tidak serius dan pulih dengan rawatan.


Untuk memahami permasalahan ini, kita perlu memahami anatomi saluran kencing wanita itu sendiri.


Ia terdiri daripada dua buah pinggang yang mengeluarkan air kencing, dua tiub yang dipanggil ureter yang mengalirkan air kencing ke pundi kencing, pundi kencing di mana air kencing disimpan dan salur keluar yang dipanggil uretra, di mana air kencing dikeluarkan dari simpanan pundi kencing.


“Sistem saluran kencing terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian atas (buah pinggang dan ureter) dan bahagian bawah (pundi kencing dan uretra).


“Infeksi pada bahagian bawah jarang serius tetapi boleh mendatangkan kerumitan,’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.


Menurutnya, kebanyakan infeksi bermula dari bahagian bawah di mana kuman memasuki uretra dan terus ke pundi kencing. Infeksi pundi kencing dinamakan sistitis.

“Kadangkala uretra juga boleh dijangkiti, ini dinamakan uretritis. Kuman akan terus mara ke buah pinggang dan infeksi pada organ ini dinamakan pielonefritis.

“Infeksi pada bahagian atas akan memberikan rungutan yang serius. Wanita senang dijangkiti disebabkan oleh uretra mereka yang pendek sekali gus membolehkan kuman mara ke buah pinggang dengan senang dan cepat,’’ katanya.
Punca/penyebab

Dr. Shah Reza menjelaskan, sebab-sebab yang biasa adalah seperti infeksi kuman dari faraj dan dubur, ditularkan melalui hubungan kelamin atau mungkin juga disebabkan oleh kelainan sistem saluran kencing.

- Kuman bakteria: Bakteria dari usus juga tinggal di bahagian kulit berhampiran dubur serta di dalam faraj. Bakteria ini boleh mara ke sistem saluran kencing dan menyebabkan infeksi pada mana-mana bahagian.

- Melakukan hubungan seks: Bentuk anatomi wanita memudahkan infeksi saluran kencing selepas hubungan kelamin, disebabkan pembukaan uretra berada di depan faraj.

Semasa hubungan kelamin, bakteria ini memasuki sistem kerana urutan alat sulit suami mahupun jari.

Mereka yang kerap kali menukar pasangan serta melakukan persetubuhan yang sangat kerap juga terdedah pada infeksi.

Penggunaan ubat spermasidal (pembunuh sperma) dan diafram juga berpotensi sebagai penyebab infeksi.

- Sistem saluran kencing tidak normal: Berlaku apabila aliran kencing tidak sepenuhnya sehala. Ada yang mengalir semula ke bahagian atas, menyebabkan pembuangan air kencing dari pundi menjadi tidak sepenuhnya.
Sebab-sebab yang berkemungkinan adalah seperti:

1. Berlakunya halangan seperti batu karang pada buah pinggang, ureter dan pundi kencing.

2. Penyempitan saluran kencing, mungkin kerana infeksi lampau.

3. Divertikula: Pundi kencing yang abnormal mempunyai poket-

poket kecil yang mengandungi air kencing yang tidak dapat dilepaskan.

4. Mungkin juga kerana masalah otot-otot pinggul serta saraf.

- Sebab-sebab lain termasuklah mengandung, mempunyai sejarah infeksi lampau semasa kanak-kanak, penyakit kencing manis dan juga kerana putus haid (menopaus).

Bagi kanak-kanak perempuan, infeksi mungkin kerana ureter mereka yang pendek, jadi air kencing senang kembali ke bahagian atas. Seiring pertambahan usia, ureter akan menjadi panjang dan masalah ini mungkin tidak ada lagi.

Sekiranya seseorang wanita itu mengandung, maklumkan kepada doktor mengenainya kerana infeksi saluran kencing boleh memudaratkan kandungan.
Rungutan

Rungutan boleh datang dengan tiba-tiba. Anda mungkin rasa ingin kencing yang tidak boleh ditahan-tahan lagi.

“Kadangkala apabila kencing, rasa sakit seperti rasa terbakar di hujung tempat air kencing keluar. Kekerapan ke bilik air tidak boleh ditahan-tahan. “Mungkin juga anda akan berasa satu ketidakselesaan di bahagian bawah abdomen, di belakang dan di sisi kedua-dua belah badan,’’ ujar Dr. Shah Reza.

Air kencing mungkin ada kelainan seperti:

- Bau yang sangat kuat yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

- Berkeladak

- Mungkin juga bercampur dengan darah.

Kehadiran darah di dalam air kencing mungkin juga berpunca daripada sebab-sebab lain. Maklumkan kepada doktor mengenai perkara ini bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan.

Sekiranya kehadiran bakteria menjadi serius, puan akan mengalami keadaan seperti:

- Sakit di bahagian belakang serta sisi badan

- Terketar-ketar

- Demam

- Rasa mual dan nak muntah

- Muntah.

“Harus diingat bahawa infeksi buah pinggang adalah serius, jadi jangan abaikannya.

“Infeksi pada bahagian faraj dan juga luaran alat sulit wanita iaitu vulva turut memberikan rungutan dan gejala-gejala hampir sama.’’

Anda boleh berjumpa doktor pakar sakit puan untuk membezakan di antara keduanya.
Diagnosis infeksi

Dr. Shah Reza memberitahu: “Analisis air kencing akan dilakukan. Air kencing yang normal tidak mempunyai sel darah putih ataupun sel darah merah. Kuman juga sepatutnya tidak ada. Kehadirannya menunjukkan adanya infeksi.

“Ujian sensitiviti mikrobiologi diperlukan untuk mengenal pasti kuman terlibat supaya ubat antibiotik yang digunakan dapat merawat pesakit dengan tepat,’’ katanya.

Tambah beliau, sekiranya rungutan dan gejala tidak hilang dan infeksi masih berlaku, doktor mungkin mencadangkan beberapa penyiasatan lanjut bagi mengelakkan sebab-sebab yang lebih serius. Antaranya:

- Pielogram intravena: Sejenis pewarna radiologi dimasukkan ke dalam pembuluh darah vena yang kemudiannya dikumuhkan melalui sistem saluran kencing. Doktor pakar radiologi akan meneliti pengimejan organ-organ sistem saluran kencing.

- Pemeriksaan ultrasound: Penggunaan gelombang bunyi untuk melihat sistem saluran air kencing.

- Tomografi berkomputer (CT): Sinaran X yang kecil dan tirus dipancarkan ke badan secara bergilir-gilir untuk membentuk imej-imej sistem saluran kencing.

- Sistouretrografi: Sejenis pewarna dimasukkan ke pundi kencing dan pengimejan dilakukan ketika membuang air kecil.
Pencegahan

- Selepas membuang air besar ataupun air kecil dan selepas dibersihkan dengan air, lapkan kawasan tersebut dari depan ke belakang untuk mengelakkan kontaminasi/pencemaran kuman dari sistem usus

- Bersihkan selalu dengan air di kedua-dua bahagian buang air besar dan juga kawasan faraj serta luaran alat sulit

- Elakkan dari mencuci di bahagian dalaman faraj dengan meletakkan sebarang pencuci, elakkan penggunaan bedak di kawasan tersebut. Semburan deodoran juga tidak digalakkan.

- Banyakkan meminum air supaya kuman dapat dikumbah dari sistem saluran kencing.

- Kosongkan pundi kencing setiap dua hingga tiga jam. Jangan amalkan menahan aktiviti kencing.

- Amalkan membuang air kecil sebelum dan selepas melakukan hubungan kelamin terutamanya mereka yang baru berkahwin.

- Seboleh-bolehnya, pakailah seluar dalam berkapas yang dapat menyerap lembapan.

Sekiranya doktor merawat anda dengan antibiotik, pastikan ubat tersebut dimakan dengan betul. Anda juga harus tahu jenis dan nama ubat yang diberikan untuk rawatan.
Oleh Shafinaz Sheikh Maznan

No comments:

Post a Comment